Live Streaming

Khamis, 15 November 2012

Malaysia terikat dengan Hong Kong

Malaysia terikat dengan Hong Kong

Eksperimen Datuk K. Rajagopal dengan pasukan Harimau Malaya sekali lagi tersekat, kini dengan keputusan 1-1 bersama Hong Kong di Stadium Shah Alam.
Rekod tanpa menang anak buah Rajagopal dalam empat perlawanan terakhir diteruskan, dengan kekalahan 1-0 kepada Vietnam, 2-0 kepada Thailand, seri 2-2 dalam perlawanan ‘rahsia' dengan Harimau Muda B dan kini seri 1-1 dengan Hong Kong.
Kim Pan-Gon baru mengambil alih pasukan Hong Kong pada awal bulan November setelah Ernie Merrick menarik diri sebagai jurulatih secara mendadak pada 26 Oktober.
Babak pertama menonjolkan keadaan kedua-dua pasukan yang kelihatan teragak-agak untuk mara ke hadapan dengan para pemain yang sering kehilangan bola.
Safee Sali menguji penjaga gol Hong Kong Yapp Hung pada minit ke 16 apabila menerima umpanan Norshahrul Idlan Talaha tetapi rembatan voli beliau tersasar.
Tiga minit kemudian, Hong Kong membuat percubaan pertama mereka tetapi sepakan Lee Wai Lim terlalu lemah dan Khairul Fahmi, atau lebih dikenali dengan gelaran Apex, menyelamatkannya dengan senang.
S. Kunalan merupakan pemain paling mengancam untuk Malaysia dengan pecutan yang gagal dikawal penanda beliau. Bekas pemain sayap Negeri Sembilan yang bakal ke Selangor musim depan, mendapat peluang pada minit ke 28 tetapi Yapp Hung berjaya menangani umpanan Norshahrul.
Pecutan Kunalan yang gagal dikawal Lee Chi Ho pada minit ke 34 menyebabkan pemain Hong Kong itu dilayangkan kad kuning setelah membuat asakan yang merbahaya.
Pemenang Pemain Muda Terbaik dan Pemain Pilihan Kegemaran S.League, Wan Zack Haikal, kemudian menggantikan Azamuddin Akil pada minit ke 41 tetapi Hong Kong yang mengancam.
Rembatan Lee Wai Lim dalam masa kecederaan ditepis keluar oleh Apex dan bola jatuh kepada Lee Hong Lim tetapi Fadhli Shas membuat asakan penting untuk menyelamatkan Malaysia.
Babak kedua bermula dengan pemain naturalisasi dari England, Jaimes McKee, menggelecek lepas benteng pertahanan pasukan tuan rumah dengan senang tetapi Bunyamin Umar merampas bola pada minit terakhir sebelum beliau mampu merembat bola.
Harimau Malaya mula bangkit dan Amar Rohidan, yang sebelum ini tidak menyerlah, memberi hantaran yang tepat pada minit ke 58 untuk Safee menanduk masuk gol pembukaan.
Bekas ketua pasukan Harimau Muda Mahali Jasuli kemudian menggantikan Bunyamin pada minit ke 73 dan penyertaan beliau menyenangkan benteng pertahanan pasukannya yang sebelum ini gagal mengawal gerakan McKee yang semakin meningkat dengan beberapa percubaan dari jarak jauh.
Ketua pasukan Hong Kong Lee Chi Ho kemudian dilayangkan kad merah akibat menggunakan kata-kata kesat terhadap Safee pada minit ke 80. Walaubagaimanapun bekas koloni British itu menyamakan kedudukan dua minit sebelum wisel penamat.
Aidil Zafuan membuat kesilapan dengan hantaran lemah kepada Apex dan Lam Hok Hei memecut lepas pemain pertahanan ATM itu dengan senang sebelum menyepak bola masuk untuk gol terakhir perlawanan.

Kesebelasan Utama Malaysia - Khairul Fahmi (G), Bunyamin Umar, Aidil Zafuan, Fadhli Shas, Zubir Azmi, Safiq Rahim, Amar Rohidan, Gopinathan, S. Kunanlan, Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha
Kesebelasan Utama Hong Kong - Yapp Hung (G), Chi Ho, Song Wei, Yang, Hong Lim, Wai, Ka Wai, Kwan Yee, Wai Ho, Kin Pong, Jaimes Mckee


Tiada ulasan:

Catat Ulasan