Live Streaming

Rabu, 28 November 2012

Baihakki harap Singa kekalkan prestasi

Singapore vs Malaysia: Baihakki Khaizan, Safee Sali

Pemain pertahanan Singapura, Baihakki Khaizan menggesa rakan sepasukan untuk tidak leka dan terus kekalkan prestasi untuk dua perlawanan seterusnya.
Singapura berjaya menewaskan Malaysia di laman sendiri pada hari Ahad dengan keputusan 3-0 pada perlawanan pembukaan Kumpulan B Piala Suzuki AFF 2012.
Baihakki yang beraksi cemerlang di benteng pertahanan dalam perlawanan itu berharap agar Singapura mengekalkan prestasi dan momentum yang baik menjelang perlawanan dengan Indonesia dan Laos.
"Selepas kemenangan ke atas Malaysia, pasukan dalam keadaan yang positif. Saya rasa kami telah menjalani persediaan yang baik sebelum kejohanan ini walaupun keputusan persahabatan tidak berpihak kepada kami.
"Walaubagaimanapun, saya berharap kami dapat kekalkan momentum ini untuk perlawanan yang seterusnya," kata Baihakki kepada ESPN.
Beliau percaya Malaysia masih boleh bangkit selepas jaringan gol kedua Shahril Ishak yang disebabkan oleh kesilapan penjaga gol, Khairul Fahmi namun menurutnya, perlawanan tamat selepas Aleksandar Duric mrnyumbat gol ketiga sepuluh minit sebelum masa tamat.
"Dalam bola sepak terdapat saat-saat di mana beberapa perkara tidak berpihak kepada anda. Saya rasa masih awal lagi untuk Malaysia bangkit selepas jaringan gol kedua tetapi kami telah tamatkan perlawanan selepas gol ketiga," tambahnya lagi.
Baihakki yang beraksi dalam Piala Suzuki AFF buat kali kelima dalam karier bola sepaknya berharap untuk melakukan yang terbaik sehingga kejohanan tamat.
Singapura akan bertemu Indonesia pada hari Rabu dan beliau akui ia bukan satu perlawanan yang mudah.
"Bukan perlawanan yang mudah dengan Indonesia nanti tetapi kami akan menggunakan pendekatan yang sama untuk perlawanan itu seperti perlawanan yang lain. Kami akan terus berusaha keras dan kekal positif." jelasnya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan