Live Streaming

Rabu, 14 November 2012

"Pemain akan tunjuk karakter sebenar"

"Pemain akan tunjuk karakter sebenar"

Datuk K.Rajagobal yakin semua pemain akan menunjukkan karakter dan kualiti sebenar apabila bertemu Hong Kong dalam perlawanan persahabatan esok.
Pengendali skuad bola sepak kebangsaan Datuk K.Rajagobal hari ini memanggil penyerang pasukan Harimau Muda, Ahmad Hazwan Bakri dan pemain pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Irwan Fadzli Idrus untuk menjalani latihan.
Rajagobal berkata dua pemain itu akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan empat pemain yang beliau gugurkan daripada senarai pemainnya.
"Hari ini saya memanggil Ahmad Hazwan dan Irwan untuk melihat sejauh mana kemampuan mereka dalam menyesuaikan diri dengan skuad sekarang selain untuk melihat kualiti mereka sama ada sesuai untuk saya senaraikan ke skuad piala AFF Suzuki atau tidak.
"Empat pemain yang saya gugurkan itu bukan bererti mereka tidak sesuai tetapi saya lebih mengutamakan pemain yang boleh bermain di dua posisi bagi memastikan sekiranya ada pemain yang cedera tidak akan berlaku kekosongan posisi," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pengurus pasukan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia, hari ini.
Empat pemain yang digugurkan ialah Amiridzwan Taj Tajudin (ATM), Yong Kuong Yong (Felda United), Nik Shahrul Azim Abdul Halim dan Mohd Rizal Fahmi Abdul Rosid (Kelantan).

Jurulatih berusia 56 tahun itu bagaimanapun menafikan tindakannya memanggil Ahmad Hazwan adalah untuk memperbaiki ketumpulan penyerang negara sebaliknya bagi melihat keserasian pemain muda itu dengan pemain yang lebih senior.
"Saya nak lihat komitmen Hazwan dan keserasian sekiranya dia diturunkan malam esok. Dulu masa dia diberi peluang turun bermain dia berjaya lakukan hatrik semasa skuad negara menentang Sri Lanka, saya yakin pemain ini ada sesuatu yang boleh digunakan untuk pasukan.
Ditanya mengenai perlawanan persahabatan antara pasukan kebangsaan menentang Hong Kong pada malam esok di Stadium Shah Alam, Rajagobal berkata pemainnya akan lebih serius dan akan melihat perkembangan setiap pemain yang benar-benar boleh diserap kepada Skuad Piala AFF Suzuki.
"Esok, saya akan lihat perkembangan pemain disebabkan kita sudah masuk fasa akhir persedian bagi Piala AFF Suzuki sebelum senarai 22 pemain disahkan.
"Saya yakin esok kita akan lihat kualiti dan karakter pemain yang sebenar disebabkan mereka perlu bersaing sesama sendiri untuk memastikan mereka terpilih".
Kini, seramai 35 pemain masih menjalani latihan di bawah kendalian Rajagobal sebelum senarai 22 pemain yang terpilih untuk bermain di Piala AFF Suzuki yang bermula 23 Nov ini diumumkan.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Hong Kong, Kim Pan Goh berkata pasukannya akan tampil lebih lengkap untuk perlawanan malam esok setelah melakukan lima perubahan di dalam skuadnya.
"Pada perlawanan lepas kami kalah kepada Malaysia disebabkan faktor pasukan lepas bukanlah pasukan sebenar kerana tidak dapat memanggil beberapa pemain yang terpaksa bermain bersama pasukan kelab di Liga Bola Sepak China.
"Esok, saya yakin keputusan yang lebih baik mampu kami hasilkan setelah melihat gaya permainan yang Malaysia pamerkan pada perlawanan lepas," katanya.
Pada 16 Okt lepas, pasukan negara menewaskan Hong Kong 3-0 dalam satu perlawanan persahabatan di Stadium Mong Kok, Hong Kong.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan