Live Streaming

Ahad, 2 Disember 2012

Rajagobal puji para pemain

Rajagobal puji para pemain

Jurulatih Harimau Malaya, Datuk K.Rajagobal memuji para pemainnya yang beraksi dengan baik pada kemenangan 2-0 ke atas Indonesia.
Kemenangan 2-0 ke atas Indonesia hasil jaringan Azamuddin Akil dan Mahali Jasuli pada separuh masa pertama cukup untuk membawa Malaysia ke separuh akhir Piala Suzuki AFF dan sekaligus menyingkirkan Merah Putih dari kejohanan ini.
Rajagobal yang berpuas hati dengan kemenangan ini telah memuji anak buahnya yang telah mempamerkan aksi hebat untuk meraih kemenanagan.
"Ia bukan satu perlawanan yang mudah tetapi kami telah bermula dengan baik. Dua gol dalam masa dua minit itu penting untuk kami tetapi Indonesia masih tidak berputus asa dan terus berjuang.
"Para pemain beraksi dengan baik pada separuh masa pertama dan pada separuh masa kedua saya telah memberitahu mereka untuk menajaringkan satu lagi gol bagi menamatkan perlawanan.
"Walaubagaimanapun kami kini telah layak ke separuh akhir dan akan bertemu Thailand." katanya di sidang media semalam.
Beliau turut akui aksi hebat Harimau Malaya ini dibawa dari kemenangan 4-1 ke atas Laos Rabu lepas.
"Pemain mendapat keyakinan dari kemenangan dengan Laos. Kami tahu Indonesia hanya memerlukan keputusan seri. Jadi, kami mesti menjaringkan gol." tambahnya.
Pemain Harimau Muda, Wan Zack Haikal yang beraksi buat pertama kalinya dalam kejohanan Piala Suzuki AFF tahun ini juga menarik perhatian banyak pihak dan kehadirannya memberi impak kepada pasukan.
"Saya memulakan Zack di kiri selepas kehilangan Kunalan yang cedera. Selepas lebih kurang 15 minit, saya menukarkan posisi Azamuddin dan Zack.
"Kedua-dua mereka memberikan satu perlawanan yang lebih mengasak dan menyerang. Apa yang penting bagi saya adalah mereka kekalkan prestasi ini.
"Ini Piala Suzuki pertama untuk Wan Zack dan dia telah beraksi dengan baik. Saya harap dia dapat mengekalkan persembahan seperti ini." katanya lagi.
Pemain pertahanan, Mahali Jasuli yang menjaringkan gol kedua Malaysia turut menyerlah menentang Indonesia dan Rajagobal akui berpuas hati dengan kombinasi Mahali dan Wan Zack.
Apabila ditanya pendapatnya tentang perbezaan pasukan Indonesia tahun ini dengan pada tahun 2010 beliau berkata: "Saya rasa pasukan Indonesia dua tahun lepas lebih baik dari tahun ini. Saya tidak bermaksud pasukan tahun ini tidak bagus tetapi ia satu pasukan yang berbeza dan saya rasa mereka mempunyai masa depan yang baik."
Malaysia akan bertemu Thailand di separuh akhir dalam masa seminggu lagi dan Rajagobal percaya Thailand akan memberi cabaran yang hebat.
"Thailand satu pasukan yang hebat tahun ini. Mereka mempunyai kepantasan dan bermain sebagai satu unit. Seperti saya katakan, tiada pilihan dalam separuh akhir ini, semuanya hebat.
"Tetapi kami akan beraksi seperti biasa dan tidak akan terlalu memikirkan kekuatan mereka." jelasnya.
Separuh akhir Malaysia vs Thailand akan berlangsung pada 9 Disember 2012.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan